Gagal itu perkara normal. Saya sendiri banyak kali gagal dalam kehidupan. Gagal dalam macam-macam haluan.

Berikut adalah cara-cara yang boleh dicuba supaya semangat untuk bangkit lagi dan lagi datang menyala-nyala;

#1 – Menangis
Menangis bukan bererti bahawa kita lemah. Jangan pernah untuk berasa takut untuk meluahkan perasaan sendiri. Berasa sedih dengan kegagalan itu sememangnya suatu hal yang normal.

Di samping itu, menangis seketika sebenarnya adalah salah satu cara yang bukan sahaja menenangkan tetapi juga menyihatkan.

Menurut fakta tentang menangis, air mata yang terhasil dapat mengelakkan daripada kornea menjadi kering. Malah, air mata mempunyai anti-bakteria.

Walaupun sudah menangis setelah gagal, tidak perlu dipanjangkan kesedihan tersebut. Kawalan emosi sewaktu menghadapi kegagalan adalah sangat penting.

Malahan, Allah S.W.T akan sentiasa ada bersama-sama meskipun kita mencapai kejayaan mahupun gagal di dunia ini.



#2 – Menerima Kenyataan
Hidup ini tidak ada kesempurnaan. Tiada manusia yang tahu tentang segala-galanya. Tentu ada di mana-mana kelemahan, kegagalan dan kesakitan yang datang tanpa kita sedari.

Apabila kita dapat menerima hakikat bahawa tidak selamanya hidup ini mudah, kita akan rasa berserah sepenuhnya kepada Allah S.W.T.

Tambah pula, di sebalik setiap masalah atau ujian yang menimpa pasti ada hikmah yang disembunyikan-Nya.

Yakinlah bahawa Allah Maha Penyayang. Kita patut bersyukur dan terima kenyataan tentang kegagalan tersebut dengan sepenuh hati.

Sabar itu indah. Dalam kegelapan serta kehujanan, pasti akan ada pelangi yang sedang menanti. Maka di samping menerima hakikat, bersabarlah sepanjang menjalani proses mengalami kegagalan.

#3 – Cerita Kepada Allah S.W.T
Mengadulah kepada Allah S.W.T. Terkadang mungkin apabila kita bercerita tentang kegagalan kita kepada orang lain, kita akan berasa lega.

BACA:  Penyakit Alasan Punca Kegagalan
Namun, ia tidak memberikan apa yang kita mahu. Allah S.W.T yang lebih mengetahui tentang segala-galanya. Maka, ceritakanlah kepada-Nya terlebih dahulu.



Pada saat itulah, Allah S.W.T benar-benar rindu untuk kita mengadu, menangis mahupun bersujud kepada-Nya.

Walaupun kita tidak dapat melihat-Nya, kita tetap akan merasakan ketenangan yang dikurniakan setelah kita mengadu kepada Allah S.W.T.

“Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar terhadap-Ku. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta dengan orang-orang yang sabar.”
Surah al-Baqarah : 152-153

#4 – Meminta Bantuan
Sekiranya pada saat mengalami kegagalan dalam pelajaran, jangan pernah segan untuk meminta pertolongan orang lain. Guru-guru, rakan-rakan mahupun adik-beradik pasti akan menghulurkan bantuan kepada kita.

Dalam proses meminta pertolongan orang lain, kita boleh bertanya tentang pendapat mereka.

Sebagai contoh, idea mengenai apa-apa yang perlu kita perbaiki untuk memperoleh sesuatu kejayaan kerana tidak semua perkara yang kita sedari tetapi orang lain nampak dan sedar.

Selain itu, dalam agama Islam juga telah disyariatkan untuk saling membantu. Maka tidak perlu berasa gundah mahupun malu untuk meminta tolong.



#5 – Belajar Daripada Kesilapan
Kesempurnaan hanya milik Allah S.W.T. Kita sebagai seorang hamba, pasti melakukan kesilapan dengan sifat manusia yang serba kekurangan. Dan lebih baik juga untuk kita memikirkan bagaimana untuk belajar daripada kesilapan.

Setiap kegagalan pasti hadir dengan pengajaran. Jangan pula meremehkan kesilapan kerana mungkin kita akan mengulang kesilapan yang sama.

Oleh itu, jika kita belajar dari kesilapan dengan teknik yang betul, pasti kita dapat meningkatkan kemajuan diri.

Kita sepatutnya memahami sebab kegagalan itu berlaku di samping cuba untuk mengelakkan diri daripada kesilapan yang sama. Rasulullah SAW telah bersabda;

BACA:  Profesor Masuk Islam Karena Keajaiban al-Quran
“Janganlah orang Mukmin itu dipatuk oleh ular daripada lubang yang sama dua kali”
Riwayat Imam Muslim

#6 – Baca Kata-Kata Hikmah
Diri kita semestinya memerlukan kata-kata hikmah sebagai pembakar semangat. Di samping itu, motivasi diri amat penting dalam kehidupan kita. Di sebabkan itu kata-kata hikmah sangat diperlukan untuk memajukan diri.

Jadi, salah satu cara untuk meningkatkan semangat agar terus berusaha adalah dengan membaca. Kita boleh mendapatkan banyak kata-kata hikmah menerusi internet dalam era teknologi ini.

Selain kata-kata hikmah di Google, Goodreads dan laman web, buku yang dicetak juga boleh dijadikan sebagai pemangkin semangat.

Percayalah dengan kebaikan dan kuasa apabila membaca kata-kata hikmah. Kuasa itu dapat dirasai ketika kita membaca kata-kata itu beberapa kali dan berfikir setelah membacanya.

#7 – Luangkan Masa Untuk Diri Sendiri
Setiap orang tentu mahukan masa untuk diri sendiri. Bagi mempercepat untuk bangun daripada kejatuhan ialah luangkan masa untuk diri anda.

Kita boleh mengambil masa untuk melakukan apa-apa yang kita suka. Sebagai contoh, cari bahan bacaan untuk dibaca ataupun berkebun.

Sekiranya kita ada wang lebih dalam simpanan, kita boleh menggunakannya untuk hidup lebih sihat atau pun pergi melancong.

Selain dapat menenangkan fikiran dan membahagiakan, kita mungkin dapat meneroka bakat yang terpendam.

Jika suka membuat kek contohnya, kemudian ramai pula yang memuji. Dari situ, kita boleh membuka bisnes kek secara kecil-kecilan. Maka lihatlah dengan kaca mata dari langit bahawa masih ada banyak peluang untuk mencipta kejayaan.

#8 – Teruskan Berusaha
Tiada jalan pintas untuk menaiki tangga kejayaan dengan mudah. Usaha yang berkekalan amat diperlukan bagi menjamin kejayaan.

Tuhan itu Maha Adil maka jangan sesekali kita berputus asa. Kita sebagai insan yang sentiasa memburu kejayaan mestilah yakin dengan apa-apa yang telah kita lakukan.

BACA:  Kebencian mengakibatkan banyak kerugian
Meskipun kita telah gagal berkali-kali, kita akan bangkit berpuluh-puluh kali. Hal ini sama dengan situasi dalam kata hikmah Inggeris;

“The harder you fall, the higher you bounce”

Dalam pepatah Arab ada disebut tentang usaha;

“Mengharapkan kejayaan tanpa adanya usaha ibarat mengharapkan kapal berlayar di daratan”

Konklusinya, berusahalah bersungguh-sungguh untuk bangkit daripada kegagalan. Praktikkan berbagai-bagai cara yang sesuai untuk bangun semula.

Namun ketika usaha dan doa kita tidak dikabulkan Allah S.W.T, itu bermaksud Allah mempunyai rancangan lain yang jauh lebih indah daripada perancangan kita.

Selamat berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan Allah S.W.T. Dia sayangkan hambanya maka pasti ada sesuatu di sebalik kegagalan yang kita alami.

loading...

0 comments Blogger 0 Facebook

Post a Comment

 
Hidayah milik Allah SWT. © 2013. All Rights Reserved. Share on Themes24x7. Powered by Blogger
Top